Isi Rindu

Assalamualaikum wbt..
Sekarang saya berada di Universiti Malaya Nilam Puri. Menjalani kehidupan biasa sebagai pelajar asasi. Saya yakin begitu juga sahabat-sahabat yang lain, bekas 503 2010 di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Semua sedang menajalani kehidupan masing-masing, selari dengan haluan yang telah dipilih, yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Mungkin apabila kita renung sejenak, apa sahaja yang sedang dilakukan oleh sahabat-sahabat yang lain, yang pernah kita dekat dengan mereka, yang kita pernah jalani kehidupan bersama satu ketika dulu di bawah satu naungan tarbiyah? Berfikir-fikir tentang perkara tersebut menghanyutkan lamunan kepada tika kenangan-kenangan manis mahupun pahit dijana bersama.

Ustaz saya di sini sering menyebut, "Kenangan yang pahit pada suatu tika akan dirasakan manis pada ketika ini. Pahit manis kehidupanlah yang menjadikan dunia kita berwarna-warni, justeru bercorak." Lebih kurang begitulah. Jelaslah bahawa perkara-perkara yang telah berlalu mampu mendatangkan satu macam roh atau semangat untuk terus maju, bergerak mahupun melangkah ke suatu tahap yang lain. Cabaran, dugaan akan kita dapat harungi dengan tenang, setelah kita dulunya pernah merasai jerih perit kesengsaraan tersebut dan seterusnya yakin dengan bibit-bibit manis yang akan menyusul selepasnya.

Sejujurnya, setakat ini pabila kita mula menjurus ke haluan sendiri, kita akan mula menghargai perkara lepas yang kadang kalanya tidak pernah terdetik pun untuk kita nilai kepentingannya. Jelaslah juga, apa yang kita pernah lakukan dahulu merupakan gambaran apa yang kita akan jadi hari ini dan begitulah seterusnya. Fikiran matang sangat penting dalam hal ini, bukan sahaja membentuk diri, juga menentukan masa depan kita, yang paling penting, menentukan siapa kita di hadapanNya nanti.

Bukan untuk berpuitis, bukan untuk berkarya, namun hanya mahu melepaskan rindu kepada KKJ tercinta, yang banyak membina dan membentuk diri ini semacam yang wujud tika ini. Hidup di sini dirasakan sudah jauh dari saat-saat gembira sebagai pelajar sekolah. Stelah itu, mula mengarang hidup berlandaskan masa. Dalam hidup ini hakikatnya, setiap insan diberi peluang kedua, ketiga mahupun ke berapa sekalipun, cuma hanya bergantung seseorang itu sama ada sedar mahupun tidak, menerima atau menolak, dan pandai atau sebaliknya dalam menggunakan peluang-peluang yang datang berkali-kali sebenarnya. Buka mata, buka hati, buka minda. Jangan rasakan malang, jangan rasakan tiada belas kerana setiap kesedihan itu merupakan motivasi untuk kegembiraan pada hari depan, dengan syarat diri kita mahu melangkah ke arah itu.

Rakan-rakan yang sememangnya menjadi teman, orang yang paling rapat setelah ibu bapa, menjadi pihak penting yang mencorak peribadi kita. Alhamdulillah, saya punya rakan-rakan yang terbaik, yang sejelasnya mendorong kepada kebaikan daripada kehancuran. Tidak cukup dengan itu, ukhuwwah yang dijalin atas nama Dia, memantapkan kedudukan ataupun peranan sebagai seorang sahabat kepada orang lain pula.

Moga-moga semuanya di bawah naungan rahmat Ilahi. InsyaAllah.

Ikhlas.
=)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 berkata-kata:

Post a Comment